BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, July 17, 2011

Pengantar Bahasa dan Linguistik Melayu (Final Exam April 2011)

Terangkan maksud morfologi dan huraikan kaedah utama menerbitkan perkataan dalam bahasa Melayu beserta contoh-contoh yang sesuai. (50 Markah)

Morfologi ialah bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan dibina. Kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan dan bentuk-bentuk perkataan yang dihasilkan. Unsur yang membentuk perkataan ialah morfem dan kata. Morfem dan kata adalah dua unsur bahasa yang yang digunakan dalam mengkaji cara-cara membentuk kata.

Morfem ialah unsur atau unit bahasa yang terkecil yang mempunyai makna atau fungsi tatabahasa. Bentuk seperti rumah, jalan, duduk, dan tinggi semuanya tidak dapat dijadikan unsur yang lebih kecil lagi kerana ia adalah unit yang terkecil. Di samping itu, ada unsur-unsur lain dalam bahasa Melayu seperti -nya, -kah, -pun dan lain-lain. Unsur-unsur ini tidak bermakna tetapi sebaliknya setiap unsur ini mempunyai fungsi tatabahasa apabila digunakan. Morfem terbahagi kepada dua iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud sendirian. Sebaliknya, morfem terikat ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Sebagai contoh, perkataan sekolah dan laut ialah morfem bebas, tetapi imbuhan ber- dalam bersekolah dan -an dalam lautan ialah morfem terikat, oleh sebab-sebab unit-unit ini tidak boleh wujud tanpa kata dasar. 

Kaedah utama untuk menerbitkan perkataan dalam bahasa Melayu, iaitu melalui pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Pengimbuhan ialah proses membentuk perkataan melalui proses pengimbuhan. Ini dilakukan dengan mencantumkan imbuhan kepada kata dasar. Pengimbuhan terbahagi kepada empat iaitu awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Imbuhan awalan ialah imbuhan yang ditambahkan pada bahagian hadapan kata dasar, misalnya ber- dalam berjalan dan ter- dalam terambil. Contoh lain ialah:
di-, pe-, meng-, me- dan lain-lain.

Imbuhan akhiran ialah imbuhan yang ditambahkan pada bahagian belakang kata dasar, misalnya -an dalam lautan dan -kan dalam panjangkan. Contoh lain ialah:
-i,  dan lain-lain.

Imbuhan sisipan ialah imbuhan yang disisipkan di dalam kata dasar selepas konsonan pertama. contohnya ialah:
-em- (temurun, gemuruh)
-el- (telunjuk)
-er-
-in-

Imbuhan apitan ialah imbuhan yang hadir serentak, sebelum dan sesudah kata dasar. Contohnya ialah:
ke-....-an (kedudukan)
pe-....-an (pedalaman)

Proses yang kedua ialah penggandaan. Penggandaan ialah proses menerbitkan perkataan dengan menggandakan kata dasar. Ada empat jenis penggandaan menurut cara kata dasar digandakan:

  1. Gandaan Penuh
  2. Gandaan Separa
  3. Gandaan Rentak
  4. Gandaan Bebas
Gandaan penuh boleh dilakukan kepada kata dasar dan kata terbitan daripada golongan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Penggandaan kata nama membawa maksud banyak dan juga menyerupai. Contoh:
*pokok-pokok
*meja-meja
*guru-guru

Penggandaan kata kerja membawa maksud perbuatan dilakukan berulangan atau dengan tidak serius.Contoh:
*makan-makan
*main-main
*duduk-duduk

Penggandaan kata adjektif membawa maksud sifat yang menyeluruh. Contoh:
*cantik-cantik
*tinggi-tinggi
*putih-putih

Gandaan yang kedua ialah gandaan separa. Penggandaan separa adalah kelainan bentuk penggandaan penuh yang berlaku kepada kata nama tunggal. Seluruh kata tunggal boleh digandakan, atau hanya suku kata pertama digandakan. Contoh:
*laki ---> laki-laki ---> lelaki
*duduk ---> duduk-duduk ---> deduduk
*sedap ---> sedap-sedap ---> sesedap

Gandaan yang ketiga ialah gandaan bebas. Bentuk kata dasar itu ada tetapi gandaannya hanya wujud dalam bentuk penggandaan sahaja. Contoh:
*ipar-duai (ramai ipar)
*patah-riuk (patah teruk)
*pinang-lenang (beraneka pinang)

Gandaan yang terakhir ialah gandaan rentak. Ada beberapa kata nama yang boleh menerima penggandaan rentak, baik rentak suku kata atau berentak bunyi. Ada tiga subjenis penggandaan rentak, iaitu rentak suku awal, rentak suku kata akhir dan rentak bunyi vokal.

Contoh rentak suku kata awal:
*batu-batan
*bukit-bukau
*piat-piut

Contoh rentak suku kata akhir:
*anak-pinak
*hutang-piutang
*kuih-muih

Contoh rentak bunyi vokal:
*gunung-ganang
*guruh-garah
*suku-sakat

Kaedah untuk menerbitkan perkataan yang terakhir ialah pemajmukan. Kata majmuk ialah bentuk yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar  atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit dan lazimnya dieja terpisah. Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Kata majmuk dapat dibahagikan kepada tiga kelompok, seperti yang berikut:
  1. kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata bebas. Contohnya:
*biru laut
*tengah hari
*meja tulis

    2.  kata majmuk yang terbentuk istilah khusus. Contohnya:

*kertas kerja
*atur cara
*urus setia

   3.  kata majmuk yang mendukung maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa. Contohnya:

*kaki ayam
*pilih kasih
*berat tangan

0 carca marba: