BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, July 22, 2011

Ayat Perintah

Definisi: Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan kata ganti nama diri orang kedua seperti awak, kamu, engkau dan sebagainya yang biasanya digugurkan. Ayat perintah terbahagi kepada empat jenis iaitu:

1. Ayat Suruhan
Ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Subjek ialah kata ganti nama diri orang kedua.
Contoh ayat ialah:
  • Keluar dari bilik ini!
  • Awak siapkan kerja itu sekarang.
Ayat suruhan juga boleh menggunakan partikel -lah untuk melembutkannya di samping menegaskan predikat.
Contoh ayat ialah:
  • Keluarlah dari bilik ini!
  • Awak siapkanlah kerja itu sekarang.
Dalam binaan ayat suruhan dan ayat perintah jenis lain yang mengandungi kata kerja tak transitif dan menerima awalan, awalan tersebut tidak boleh digugurkan. Contoh ayat ialah:
  • Menangislah sepuas-puas hatimu.
  • Menjeritlah sekuat-kuatnya.
  • Mengucaplah banyak-banyak.
2. Ayat Larangan
Ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contoh ayat ialah:
  • Jangan ambil harta orang lain.
  • Kamu jangan beritahu dia.
  • Usah kau pedulikan dia.
Ayat di atas dapat dilembutkan dengan menambah partikel -lah. Contoh ayat ialah:
  • Janganlah ambil harta orang lain.
  • Kamu janganlah beritahu dia.
  • Usahlah kau pedulikan dia.
3. Ayat Silaan
Ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Contoh ayat ialah:
  • Sila datang ke rumah saya.
  • Jemput masuk.
Ayat ini boleh  dilembutkan dengan penggunaan partikel penegas -lah. Contoh ayat ialah:
  • Silalah datang ke rumah saya.
  • Jemputlah masuk.
4. Ayat Permintaan
Ayat yang menggunakan kata permintaan seeprti minta, dan tolong dengan tujuan meminta permintaan dan pertolongan. Contoh ayat ialah:
  • Tolong tutup pintu ini.
  • Minta kamu semua bertenang.
Bentuk ayat silaan dan permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif sebagaimana yang terdapat dalam jenis ayat larangan. Contoh ayat ialah:
  • Sila jangan merokok.
  • Tolong jangan ambil.
Bentuk ayat larangan yang betul ialah:
  • Jangan merokok.
  • Jangan ambil.




0 carca marba: