BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 20, 2013

Kasih Yang Terlerai (Bahagian 1)

Akil Iman merenung ke luar tingkap rumahnya, terpandang akan dua orang kanak-kanak lelaki yang sedang bermain gasing. Alangkah gembiranya hidup seperti kanak-kanak. Tiada apa yang perlu difikirkan hanyalah keseronokan. Hidup Akil Iman mula muram setelah dia menghidapi kanser otak. Sedang dia memandang kanak-kanak itu, dia disapa ibunya.

"Man, kamu dah makan?" Puan Zawiyah mengajukan pertanyaan sambil merenung muka Akil Iman yang semakin pucat. Perasaan hiba seorang ibu itu hadir dalam jiwa Puan Kamsiah. Tapi dia tidak boleh menangis di hadapan anaknya. Dia mahu kuat supaya anaknya juga kuat. 

"Man tak ada selera bu. Nanti Man lapar, Man makan ya bu. Kalau ibu nak makan, ibu makanlah dulu. Kalau ibu tunggu Man, nanti ibu lapar pula," ujar Akil Iman dengan penuh sayu. 

"Err..err.. Man, kamu ada call Misha tak? Misha tu selalu call ibu tanya pasal kamu. Dia call kamu, kamu tak jawab. Kenapa Man? Kamu dah tak suka dia ya? Dia tu risau pasal kamu Man." ujar Puan Zawiyah sambil duduk bersebelahan dengan anaknya. 

"Ibu, kalau Misha call lagi cakap je Man sihat. Pesan dengan dia jangan call lagi. Buat apa Man teruskan hubungan ni bu, kalau keadaan Man macam ni. Pergi ke kuliah pun Man tak mampu. Macam mana Man nak jaga dia? Macam mana Man nak bahagiakan dia? Biarlah dia cari orang lain. Ramai lagi yang boleh bahagiakan dia," ujar Akil Iman dengan nada sayu. Jauh dari sudut hatinya dia sayangkan Misha. Tapi jika ini takdir hidupnya, dia redha dengan segalanya. 

Puan Zawiyah hanya diam. Sepi tanpa kata. Dia sedih dengan segala yang berlaku. Dulu anaknya seorang yang lincah kini hanya terbaring di atas katil menunggu saat kematian. Hiba dia menatap wajah Iman semakin hari semakin lesu. Puan Zawiyah tidak dapat tahan sebak. Lantas dia keluar meninggalkan Akil Iman seorang diri.

Akil Iman mencapai sekeping gambar. Wajah seorang perempuan yang sangat dirinduinya. Misha Aisyah! Dia tahu Misha sanggup susah kerana dia. Misha juga sanggup menjaganya sepanjang dia sakit. Tapi hati lelaki itu ego. Dia tidak mahu menyusahkan Misha. Biarlah Misha tidak terlibat dengan ujian ini. Akil Iman mula menitiskan air mata memandang gambar tersebut. Kenangan dia dan Misha digamit satu persatu. 

Bersambung...... 

0 carca marba: