BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, July 22, 2011

Semester 2 akan datang!

Cuti semester yang panjang ini masih berbaki 52 hari sahaja lagi. Tanggal 12 September 2011, saya dan rakan-rakan akan mula mendaftarkan nama untuk semester kedua dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) (Bahasa Melayu Komunikasi Profesional) di UiTM Shah Alam. Macam- macam perasaan yang bermain di fikiran saya. Bukan tidak biasa dengan keadaan universiti tetapi risau akan tanggungjawab yang lebih berat perlu saya galas iaitu belajar dan terus belajar! Semester depan subjek lagi susah dan perlukan pembacaan yang banyak. 


Subjek untuk semester dua berlainan dengan semester 1 dan untuk semester depan subjek telah bertambah satu dan menjadi 8 subjek kesemuanya berbanding dengan semester lepas hanya 7 subjek. Secara statistiknya, saya perlu tambah usaha seiring dengan penambahan subjek. Peribahasa Melayu mengatakan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Subjek untuk semester depan ialah:

1. Constrastive analysis (Apb 431)

Subjek ini memerlukan para pelajar mengetahui secara mendalam tentang tatabahasa Melayu dan English grammar. Hal ini kerana para pelajar akan membandingkan kedua-dua tatabahasa tersebut. Contohnya:

  • Membandingkan kata adjektif dan Adjective Noun.
  • Membandingkan fras dan phrases.
Subjek ini mempunyai 4 kredit unit. Kredit unit ini sangat besar dan perlu 160 jam belajar untuk subjek ini untuk satu semester. Subjek ini juga perlu diduduki dalam peperikasaan akhir semester nanti.

2. Language and Interactive Media (Apb 480)

Subjek ini memerlukan para pelajar mengetahui secara mendalam tentang bahasa dan juga media khususnya komputer dan internet. Para pelajar akan mencipta satu CD yang berbentuk ilmiah untuk projek akhir. Subjek ini juga mempunyai 4 kredit unit dan tidak perlu menduduki peperikasaan akhir. Para pelajar hanya kena menyerahkan CD tersebut serta laporan. Markah akan dinilai berdasarkan itu.

3. Third Language

Untuk semester depan hanya 3 subjek bahasa ketiga yang ditawarkan iaitu German Language (Bgm 401), Mandarin Language (Bmd 401) dan Arabic Language (Bab 401). Para pelajar akan belajar tentang bahasa yang mereka pilih dan hanya   silabus basic sahaja yang akan para pelajar belajar.Para pelajar tidak perlu menduduki peperiksaan akhir untuk  Bahasa ketiga. Kredit unit untuk subjek ini ialah 2.

4. Malay Cosmology (Bmp 415)

Para pelajar akan didedahkan dengan budaya-budaya Melayu dan akan membuat satu eksperimen berkaitan dengan budaya tradisional Melayu. Contohnya, membuat wau, membuat kuih tradisional, membuat batik dan sebagainya. Secara teori, para pelajar akan belajar mengenai:
  • Konsep Melayu berdasarkan kepada aspek geopolitik, budaya, dan Perlembagaan Malaysia. 
  • Perkaitan di antara individu, masyarakat dan budaya dalam konteks masyarakat dan budaya Melayu.
  • Bentuk-bentuk dan ciri kepercayaan warisan yang terdapat dalam masyarakat Melayu.
  • Bentuk world-view masyarakat Melayu dengan Pencipta-Nya, hubungan sesama manusia dan juga hubungan manusia dengan alam.
  • Banyak lagi!!
Subjek ini mempunyai 3 kredit unit dan para pelajar perlu menduduki peperiksaan akhir untuk subjek ini.

5. Malay Sosiolinguistics (Bmp 421)

Sosiolinguistik adalah satu subjek yang menumpukan terhadap bahasa dalam kaitannya dengan masyarakat.Para pelajar akan belajar mengenai:
  • Jenis kelainan bahasa dari aspek geografi, sosial.
  • Perancangan bahasa
  • Fungsi Bahasa Melayu.
  • Kesantunan Bahasa
  • Perancangan Bahasa
  • Banyak lagi!!!
Subjek ini juga mempunyai 3 kredit unit dan perlu menduduki peperiksaan akhir.

6. Malay for Specific Purpose (Bmp 446)

Bahasa Melayu Khusus adalah satu kursus untuk para pelajar belajar mengenai aspek-aspek yang perlu dipatuhi dalam penulisan ataupun dalam pembinaan bahasa Melayu. Antaranya ialah:
  • Aspek yang perlu dipatuhi dalam pembinaan bahasa Melayu khusus iaitu apek tatabahasa, istilah, leksikal dan wacana.
  • Retorik.
  • Semantik
  • Cara membuat laporan, minit mesyuarat, kertas kerja.
  • Banyak lagi!!
Subjek ini juga mempunyai 3 kredit unit dan perlu menduduki peperiksaan akhir.

7. Protocol and Social Etiquette (Bmp 514)

Protokol adalah  satu etika yang perlu diikut berdasarkan situasi. Para pelajar akan belajar mengenai cara-cara beretika dan berprotokol yang betul. Antaranya ialah:
  • Etika berpakaian, makan
  • Etika menjadi pengerusi Majlis
  • Menjemput tetamu
  • Banyak lagi!!
Subjek ini juga mempunyai 3 kredit unit dan perlu menduduki peperiksaan akhir.

8. Intelectual Discourse II (Hpd 227)

Subjek ini ialah subjek kokorikulum. Para pelajar diberi kebebasan untuk memilih mana-mana sukan, persatuan, badan beruniform dan sebagainya untuk subjek kokurikulum mereka. Subjek ini adalah untuk melahirkan jati diri para pelajar. Subjek ini hanya mempunyai 1 kredit unit.

Itulah kesemua 8 subjek yang perlu diikuti oleh para pelajar LG 221 untuk semester kedua. Kesemuanya adalah 23 kredit unit.




Ayat Perintah

Definisi: Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan kata ganti nama diri orang kedua seperti awak, kamu, engkau dan sebagainya yang biasanya digugurkan. Ayat perintah terbahagi kepada empat jenis iaitu:

1. Ayat Suruhan
Ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Subjek ialah kata ganti nama diri orang kedua.
Contoh ayat ialah:
  • Keluar dari bilik ini!
  • Awak siapkan kerja itu sekarang.
Ayat suruhan juga boleh menggunakan partikel -lah untuk melembutkannya di samping menegaskan predikat.
Contoh ayat ialah:
  • Keluarlah dari bilik ini!
  • Awak siapkanlah kerja itu sekarang.
Dalam binaan ayat suruhan dan ayat perintah jenis lain yang mengandungi kata kerja tak transitif dan menerima awalan, awalan tersebut tidak boleh digugurkan. Contoh ayat ialah:
  • Menangislah sepuas-puas hatimu.
  • Menjeritlah sekuat-kuatnya.
  • Mengucaplah banyak-banyak.
2. Ayat Larangan
Ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contoh ayat ialah:
  • Jangan ambil harta orang lain.
  • Kamu jangan beritahu dia.
  • Usah kau pedulikan dia.
Ayat di atas dapat dilembutkan dengan menambah partikel -lah. Contoh ayat ialah:
  • Janganlah ambil harta orang lain.
  • Kamu janganlah beritahu dia.
  • Usahlah kau pedulikan dia.
3. Ayat Silaan
Ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Contoh ayat ialah:
  • Sila datang ke rumah saya.
  • Jemput masuk.
Ayat ini boleh  dilembutkan dengan penggunaan partikel penegas -lah. Contoh ayat ialah:
  • Silalah datang ke rumah saya.
  • Jemputlah masuk.
4. Ayat Permintaan
Ayat yang menggunakan kata permintaan seeprti minta, dan tolong dengan tujuan meminta permintaan dan pertolongan. Contoh ayat ialah:
  • Tolong tutup pintu ini.
  • Minta kamu semua bertenang.
Bentuk ayat silaan dan permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif sebagaimana yang terdapat dalam jenis ayat larangan. Contoh ayat ialah:
  • Sila jangan merokok.
  • Tolong jangan ambil.
Bentuk ayat larangan yang betul ialah:
  • Jangan merokok.
  • Jangan ambil.




Thursday, July 21, 2011

Pemikiran Pragmatik

Berfikir secara pragmatik ditandai oleh sikap kita yang lebih mengutamakan perkara-perkara berikut:

----> Adakah sesuatu itu dapat dilaksanakan?
Dalam hal ini, perkara yang dapat dibuat itu diberi keutamaan lebih daripada perkara-perkara yang awal. Idea yang kurang baik boleh dilaksanakan tetapi idea yang baik tidak boleh dilaksanakan.

----> Adakah idea itu sesuai dengan situasi?
Idea yang kurang sempurna pun, tetapi kalau ia sesuai dengan keadaan dan situasi maka idea itu diberi keutamaan yang lebih tinggi dibandingkan dengan idea yang ideal tetapi kurang sesuai dengan keadaan dan situasi pada waktu itu.

----> Apakah faedah yang diperoleh daripada sesuatu idea atau perkara?
Idea yang dapat menunjukkan hasil adalah lebih diutamakan daripada idea yang memerlukan masa yang sangat lama sebelum faedahnya dapat dinikmati.

----> Sudahkan semua aspek praktikalnya diambil kira? 
Idea yang baik tetapi kalau ia cuba menyelesaikan bermacam-macam perkara secara serentak dan sekaligus adalah dianggap tidak praktikal.

Contoh soalan:
Belajar komputer sangat berfaedah. Terdapat cadangan agar pelajaran komputer diperkenalkan sebagai mata pelajaran wajib lulus kepada pelajar-pelajar sekolah menengah. Kenapa cadangan ini tidak dapat dilaksanakan?

Antara pandangan saya ialah:


  1. Membebankan keluarga yang berpendapatan rendah untuk memiliki komputer.
  2. Kerajaan terpaksa mengeluarkan dana yang banyak untuk menyediakan komputer di setiap sekolah.
  3. Pelajar akan menyalahgunakan komputer yang disediakan - melayari internet lucah, bermain dengan permainan komputer dan sebagainya.
  4. Pelajar akan leka dan lalai.
  5. Kerajaan terpaksa menambah bilangan tenaga pengajar dalam bidang IT.