BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 20, 2013

Kasih Yang Terlerai (Bahagian 2)

Akil Iman mengimbau kembali kenangan pertama kalinya dia mengenali Misha Aisyah. Ketika mereka sedang terlibat dengan minggu orientasi pelajar baru di Universiti Malaya. Akil Iman diperhatikan oleh seorang gadis yang berbaju kurung hijau. Tampak manis. Sememangnya Misha Aisyah sangat cantik. Berkulit putih. Bentuk badan yang mempersonakan ramai lelaki. Boleh dikatakan Misha Aisyah itu persis bidadari dunia. Misha Aishah tanpa segan silu memulakan langkahnya mendekati Akil Iman yang sedang duduk sendirian di satu sudut untuk menjamah hidangan makan tengah hari. Lantas Akil Iman disapa.

"Assalamualaikum. Hai, awak seorang je ke? tanya Misha sambil mengukir senyumannya. Nampak cantik dengan berlesung pipit.

"Waalaikumussalam. Hai, yup saya saya seorang sahaja. Tak tahu lah kalau awak nampak ada orang lain disebelah saya," perli Akil Iman tanpa memandang wajah Misha Aisyah.

Tanpa dijemput Misha melabuhkan punggungnya duduk berhadapan dengan Akil Iman. Kerek betul lelaki ini! Gumam Misha sendirian. Akil masih lagi menyuap nasi ke mulutnya tanpa memandang Misha. 

"Boleh saya duduk di sini? Kesian awak makan sendirian," ujar Misha dengan yakin.

"Kalau saya kata tak boleh pun, awak dah duduk pun. Awak makanlah cepat. Nanti kita kena berkumpul di dewan pula," ujar Akil Iman dengan sedikit perlian lantas membuatkan Misha kurang selesa dengan layanan Akil Iman. 

"Ishh lelaki ni tak suka perempuan ke? Atau dia dah ada awek? Aku langsung tak dipandang," hati Misha berbicara sendirian. 

Misha lalu menyuapkan makannya ke mulut satu persatu. Tanpa mempedulikan Akil Iman dihadapannya. Mereka menyepi tanpa suara. Hanya kunyahan makanan yang kedengaran. Tanpa disedari Misha, Akil Iman bingkas bangun untuk menghantarkan pinggannya ke singki. Ketika Akil Iman bangun, secara tidak sengaja dia terpandang akan kecantikan Misha Aisyah. Tanpa disengajakan, tiba-tiba..

"Prenggg"

Pinggan kaca yang dipegang Akil Iman berderaian di atas lantai. Mengejutkan Misha yang sedang menyuapkan makanan. Lantas mereka berpandangan sesama sendiri. 


Bersambung.....

Kasih Yang Terlerai (Bahagian 1)

Akil Iman merenung ke luar tingkap rumahnya, terpandang akan dua orang kanak-kanak lelaki yang sedang bermain gasing. Alangkah gembiranya hidup seperti kanak-kanak. Tiada apa yang perlu difikirkan hanyalah keseronokan. Hidup Akil Iman mula muram setelah dia menghidapi kanser otak. Sedang dia memandang kanak-kanak itu, dia disapa ibunya.

"Man, kamu dah makan?" Puan Zawiyah mengajukan pertanyaan sambil merenung muka Akil Iman yang semakin pucat. Perasaan hiba seorang ibu itu hadir dalam jiwa Puan Kamsiah. Tapi dia tidak boleh menangis di hadapan anaknya. Dia mahu kuat supaya anaknya juga kuat. 

"Man tak ada selera bu. Nanti Man lapar, Man makan ya bu. Kalau ibu nak makan, ibu makanlah dulu. Kalau ibu tunggu Man, nanti ibu lapar pula," ujar Akil Iman dengan penuh sayu. 

"Err..err.. Man, kamu ada call Misha tak? Misha tu selalu call ibu tanya pasal kamu. Dia call kamu, kamu tak jawab. Kenapa Man? Kamu dah tak suka dia ya? Dia tu risau pasal kamu Man." ujar Puan Zawiyah sambil duduk bersebelahan dengan anaknya. 

"Ibu, kalau Misha call lagi cakap je Man sihat. Pesan dengan dia jangan call lagi. Buat apa Man teruskan hubungan ni bu, kalau keadaan Man macam ni. Pergi ke kuliah pun Man tak mampu. Macam mana Man nak jaga dia? Macam mana Man nak bahagiakan dia? Biarlah dia cari orang lain. Ramai lagi yang boleh bahagiakan dia," ujar Akil Iman dengan nada sayu. Jauh dari sudut hatinya dia sayangkan Misha. Tapi jika ini takdir hidupnya, dia redha dengan segalanya. 

Puan Zawiyah hanya diam. Sepi tanpa kata. Dia sedih dengan segala yang berlaku. Dulu anaknya seorang yang lincah kini hanya terbaring di atas katil menunggu saat kematian. Hiba dia menatap wajah Iman semakin hari semakin lesu. Puan Zawiyah tidak dapat tahan sebak. Lantas dia keluar meninggalkan Akil Iman seorang diri.

Akil Iman mencapai sekeping gambar. Wajah seorang perempuan yang sangat dirinduinya. Misha Aisyah! Dia tahu Misha sanggup susah kerana dia. Misha juga sanggup menjaganya sepanjang dia sakit. Tapi hati lelaki itu ego. Dia tidak mahu menyusahkan Misha. Biarlah Misha tidak terlibat dengan ujian ini. Akil Iman mula menitiskan air mata memandang gambar tersebut. Kenangan dia dan Misha digamit satu persatu. 

Bersambung...... 

Pesan Bonda

Assalamualaikum... :)

Minda ligat berfikir
Apa kesudahannya
Bonda sudah berpesan
Hidup dan mati itu Allah yang tentukan
Jangan banyak berfikir
Jalankan tanggungjawab sebagai muslim sebelum kita dipanggil
Bonda pesan lagi segala penyakit itu ada penawarnya
Yang penting ikhtiar dan doa
InsyaAllah segalanya selamat

Pesan bonda itu buat air mata jantan ku mengalir
Bonda sesungguhnya aku tidak kuat untuk menerima ujian ini
Aku tidak mampu
Aku takut
Tapi apakan daya Allah sedang menguji kesabaran aku
Hanya doa yang mampu aku titipkan
Untuk meneruskan kehidupan

Persoalannya: Mampukah aku balas segala pengorbanan bonda dan ayahnda? Sempatkah aku?

Wassalam.. :)

Friday, July 19, 2013

Redha

Assalamualaikum.... :-)

Dulu lelaki ini mampu lagi mengukir senyum
Hari ini entah kenapa sukar untuk aku senyum
Air mata menjadi teman
Jika ini penghujung hidupku
Aku redha dengan Mu Ya Allah
Walaupun berat balasan ke atas dosa-dosaku
Aku terima jua Ya Allah
Cuma satu ku pinta
Kau berikanlah kekuatan untuk ku
Menempuh ujian Mu..

Tika ini

Assalamualaikum...

Tika ini azan subuh berkumandang
Menandakan pagi telah pun tiba
Tika ini duduk aku termenung
Memandang sekeliling;nampak kosong

Debaran makin kencang berdegup
Seakan-akan tidak bagi peluang untuk aku rehat
Gusar dan takut itu yang aku rasa
Namun terpaksa jua aku hadapi

Tika ini aku hanya mampu berdoa
Mata tidak mampu untuk dipejam
Kerna minda terus berfikir
Apa yang akan terjadi nanti
Apa yang akan diperkatakan oleh pakar perubatan
Sakit apakah aku?
Ujian apakah yg Tuhan berikan kepadaku?
Langsung aku tiada jawapan untuk itu

Hanya menanti cerah
Untuk aku kesana
Segalanya mungkin berubah nanti
Aku redha atas ujian Mu Ya Kareem.

Sunday, July 14, 2013

berakhirnya semester 5

Assalamualaikum...

Penat lelah semester ini berakhir pada petang tadi
Tamatnya Kertas MGT 417 maka tamatlah perjuangan kami
untuk semester ini

Banyak kenangan pahit dan manis sepanjang semester ini
Semester yang penuh ragam
Limpahan dugaan dan cabaran
Menapak sambil mengukir senyum
Harung segala liku di hadapan

Kejayaan menjadi misi utama
Anugerah Dekan ingin pertahankan
Ijazah kelas pertama yang aku buru
Baru puas menjadi seorang siswazah

Tiada lagi peperiksaan akhir yang akan diambil
Semester hadapan hanya mengorak langkah
menghabiskan sisa-sisa sebelum bergelar graduan
Hanya satu semester sahaja lagi
Sebelum aku melangkah dengan segak
Mencapai segenggam ijazah

Alangkah gembiranya mama dan abah
Melihat aku dari bawah
Menggenggam segulung ijazah
Tanda kejayaan aku dalam pelajaran
untuk bekalan membantu mereka kelak

Tiada apa yang ingin aku lakukan
Selain melihat mereka menangis gembira dengan kejayaan aku
Satu persatu ingin diraih
Agar senyuman mereka tidak akan luntur
Perit dan pedih mama melahirkan
Ada gunanya juga suatu hari nanti
Penat abah berpanas mencari rezeki sekeluarga
Ada manfaatnya juga suatu hari nanti

Semester hadapan akan berhadapan dengan tugasan berat
Menyiapkan 'Penulisan Ilmiah' sebagai syarat untuk bergraduat
Bukan sesuatu yang mudah
Bukan boleh dipandang remeh
Bahasa disusun satu  persatu agar menepati tatabahasanya
Bahasa dicipta secantik-cantiknya agar lewah itu tidak terjadi

"Pengekalan dan Peralihan Bahasa Komuniti Chetti Melaka"
menjadi taruhan aku untuk menyudahkannya
Satu bidang yang sangat aku gemar, iaitu Sosiolinguistik
Kerana banyak ilmu yang aku belajar
Banyak informasi yang aku tahu

Tanggal bulan 11 melangkah pula aku ke negara orang
Negara gajah putih
Jauh daripada keluarga
Membawa harapan setinggi gunung
Diri ditatih untuk  menjadi seorang pensyarah
Mengajar bahasa kepada orang Siam 
Bukan satu perkara yang mudah
Ku sahut cabaran demi kejayaan nanti

Tidak sabar rasanya untuk bergelar graduan
Masa akan tiba
Kesabaran dan doa itu penting
Moga kejayaan mengiringi aku dan rakan-rakan

Wassalam... :)


Thursday, July 11, 2013

Waktu itu singkat

Assalamualaikum...


Mutiara jernih mula membasahi kota ini
Tatkala aku masih bergelumang dengan nota
Hujan ini membuatkan aku sedih dan pilu
Mengenangkan keluarga di teratak

Persoalan mama mula memburu benak fikirku
Satu demi satu
Jujurnya aku tidak boleh jawab
Maaf mama aku menipu mu
Kerna aku tak mampu untuk berkongsi
Mahupun untuk luahkan

Biarkan saja aku menanggung derita ini
telah aku bersedia
Walaupun perit
Tetap jua aku telan

Mama dan abah
Maafkan anakmu
Masa itu sangat singkat
Untuk aku membalas jasa kalian
menghargai pengorbanan kalian
membesarkan aku

Cukup satu yang aku ingin kalian tahu
Aku sayangkan kalian
Maafkan aku
Jika aku pergi terlebih awal daripada kalian


Wassalam.. :)

Tuesday, July 9, 2013

Ramadhan

Assalamualaikum..

Lama sungguh tidak aku membiarkan jari jemari ini
menari di atas papan kekunci komputer riba ini
Lenteran kesibukan dengan peperiksaan akhir
Membuatkan aku berhibernisasi seorang diri
Jauh daripada semua orang
Impian dirapi agar terlerai jua

Kini bukan masa untuk ku menjerit 'merdeka' lagi
kerna ada dua lagi untuk aku tempuh
Lantas hujung minggu ini akan menyaksikan kegembiraan aku
apabila berkahirnya sudah peperiksaan
Menanti dengan penuh kesabaran
agar kejayaan dapat terus diraih

Petang redup ini aku mencuri sedikit masa
untuk bermonolog kembali
kerna mentari Sya'aban bakal hilang
Lantas Ramadhan akan datang menjengah
Terus keinsafan diri mulai dibentuk
Perubahan mula dirancang
Tawaduk mula dilatih
Agar aku hidup penuh dengan ibadah di bulan Ramadhan

Keluarga jauh di kampung
Aku di sini seorang diri
tiada bonda untuk mengejut ku bersahur
tiada ayahanda untuk mengajak ku ke bazar
tiada adinda untuk mengecapi puasa bersama
Hanya seorang diri mencari redha Illahi

Akan ku kuatkan juga diri ini
berteleku di atas sejadah di bumi Allah ini
biar seorang diri
berkorban demi kejayaan
Biarpun hati  ini merintih kepiluan
merindui keluarga di kampung
Namun ku pujuk jua hati ini
kuat kental dan tabah
Pasti masa itu akan tiba untuk aku bersama mereka

::Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak::